Apa seronoknya kalau pasang ‘ekzos perang'?
BIARPUN operasi besar-besaran mengesan pengguna jalan raya bagi kesalahan ubah suai ekzos atau lebih dikenali sebagai ‘ekzos perang' telah digerakkan pada 1 Mac tahun lalu, tetapi hari ini kesalahan tersebut masih berlaku.
Merak Jalanan tertanya-tanya, mengapa masih ramai pemilik kenderaan yang taasub ekzos bingit ini? Nak kata kenderaan akan laju, tak juga.
Rasanya lebih banyak dapat sumpah seranah berbanding pujian.
Merak Jalanan percaya, operasi pihak berkuasa pasti disambut baik oleh masyarakat kerana bunyi ekzos yang bising mengganggu ketenteraman awam, apatah lagi terhadap penghuni di kawasan kejiranan serta berdekatan kawasan hospital.
Bayangkan, kita baru hendak melelapkan mata seketika kerana penat bekerja, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi ‘ekzos perang'. Bagaimana rasanya bila anak kecil yang baru tidur menangis dek sebab bingitan bunyi ekzos sedemikian.
Ada juga yang terpaksa memberhentikan perbualan seketika di kedai makan untuk memberi laluan kepada kenderaan ‘ekzos perang' ini.
Perlu diingatkan, tindakan saman kerana ubah suai ekzos boleh diambil mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).
Setiap ekzos yang dipasang pada kenderaan bermotor perlu diselenggarakan setiap masa supaya berada dalam keadaan baik dan tidak boleh diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.
Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian ekzos menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan. Di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita kenderaan yang terlibat.
Jadi apa seronoknya kalau pasang ‘ekzos perang' ini?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!