Banjir sudah surut, tangisan belum berakhir
PADA 18 Februari ini, genap dua bulan tragedi banjir yang menyebabkan puluhan ribu rakyat di Selangor diselubungi duka akibat kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
Penulis antara mangsa bencana tersebut yang didakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berlaku disebabkan taburan hujan luar biasa berterusan mencecah 380mm bermula pada pagi 17 Disember lalu.
Ketika banjir berlaku, penulis berada di kampung terletak jauh di utara tanah air menghantar ibu pulang ke rumahnya.
Masih tidak boleh lupa bagaimana gelak tawa jiran pada awalnya memberi tahu perkembangan dari semasa ke semasa kawasan perumahan yang kami diami di Seksyen 29, Shah Alam akhirnya berakhir dengan tangisan.
Pada mulanya hanya bertakung di atas jalan, anak-anak kecil di kawasan kejiranan seronok bermain takungan air itu. Selepas beberapa jam, jiran menerusi WhatsApp memberitahu air sudah melimpah masuk ke dapur dan masih lagi boleh ketawa kecil ketika itu.
Bagaimanapun selepas beberapa jam, jiran penulis tidak lagi memaklumkan perkembangan terkini di kawasan perumahan. Barulah penulis dimaklumkan air sudah membanjiri kawasan rumah hingga ke paras lutut dan akhirnya sudah hampir sampai ke paras pinggang.
Kenderaan tidak lagi boleh keluar masuk dari kawasan perumahan ke jalan besar dan sebaliknya.
Rupa-rupanya jiran penulis mendiamkan diri kerana ketika itu sibuk mengemas barangan penting dan terpaksa berpindah ke perumahan dua tingkat terletak di belakang kediaman kami bersama anak kecilnya bagi menyelamatkan diri.
Bukan mudah untuk menenangkan hati apabila penulis membayangkan bagaimana kereta yang ditinggalkan di rumah yang terletak nun jauh beratus kilometer ketika itu mula tenggelam sedikit demi sedikit hingga ke paras bumbung.
Sebaik kembali pulang ke rumah, hancur hati penulis melihat kereta diselaputi lumpur dan semua perabot kayu rebah menyembah bumi, tidak dapat bertahan selepas tiga hari terendam dalam air. Setelah dicongak, hampir ribuan ringgit kerugian terpaksa ditanggung penulis sekeluarga.
Yang terselamat di sebalik bencana itu ialah barangan elektrik yang diletakkan di tempat tinggi. Turut terselamat senaskhah al-Quran walaupun terendam dalam air banjir, sedangkan buku-buku lain yang berdekatannya rosak.
Bagaimanapun, penulis seperti mangsa lain lega apabila kerajaan mengumumkan pelbagai jenis bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000.
Menteri Besar Selangor turut mengumumkan bantuan RM1,000 di bawah Bantuan Selangor Bangkit (BSB).
Namun apa yang menyedihkan, bantuan tidak datang semudah yang disangka.
Dengan keadaan tiada kenderaan, mangsa banjir diminta keluar mengambil borang permohonan bantuan dan mendapatkan pengesahan pihak terlibat.
Sedangkan sebelum itu penulis difahamkan pihak berkenaan akan menghantar borang dari rumah ke rumah bagi memudahkan permohonan bantuan dibuat.
Dalam keadaan susah payah, kebanyakan mangsa banjir ikutkan sahaja syarat ditetapkan sambil mengharapkan bantuan dijanjikan.
Namun hingga ke hari ini, ramai mangsa banjir sekitar kawasan penulis belum dapat bantuan dijanjikan.
Amirudin mendakwa kelewatan itu disebabkan terdapat tambahan permohonan yang tinggi di daerah Klang dan Petaling.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga mendapati terdapat permohonan dibuat lebih daripada sekali menyebabkan saringan kelulusan mengambil masa.
Bagi penulis, sekiranya pihak terlibat memudahkan permohonan mangsa banjir dengan menghantar borang dari rumah ke rumah sebagaimana mereka mampu berbuat demikian untuk menagih undi pilihan raya, isu permohonan lebih sekali tidak akan timbul.
Bagaimanapun, syukur apabila syarikat penulis bekerja menghulurkan bantuan segera selain pertolongan daripada rakan-rakan yang bersimpati.
Namun jauh di sudut hati, penulis sedih dengan mangsa lain yang masih belum menerima apa-apa bantuan.
Tangisan di langit yang mengundang duka sudah lama berhenti, tapi tangisan di hati mangsa banjir masih belum reda.
*Nur Farhana Abdul Manan ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!