Asyraf Wajdi kongsi video parodi rakyat mahu i-Citra RM10,000

Tangkap layar video lagu parodi yang dikongsi Asyraf Wajdi di Facebooknya.
Tangkap layar video lagu parodi yang dikongsi Asyraf Wajdi di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi satu video lagu parodi yang dihasilkan bagi menggambarkan harapan rakyat yang mahukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara sekali ('one off').

Menurut beliau, jumlah kes Covid-19 yang terus menunjukkan peningkatan menyebabkan sumber pendapatan rakyat semakin terjejas.

“Macam-macam lagu parodi dicipta bagi menggambarkan harapan rakyat yang amat terdesak terhadap pengeluaran kali terakhir RM10,000 KWSP.

“Dengan kadar kes Covid-19 yang meningkat, walaupun tidak ramai yang hadapi tahap tiga ke atas, namun ramai yang terpaksa melalui kuarantin kendiri hingga menjejaskan punca pendapatan mereka,” kata Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Beliau mengakui sering dihujani mesej daripada pelbagai golongan masyarakat yang berkongsi kisah keperitan hidup dan komitmen yang perlu ditanggung.

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

“Rakyat tidak menuntut jika tidak berkeadaan terdesak. Setiap hari kami masih menerima mesej-mesej harapan daripada pelbagai kelompok rakyat yang turut berkongsi keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan hutang mencanak, komitmen bulanan tertunggak dan kos sara hidup meningkat akibat harga barang naik mendadak.

“Dua hari lepas persatuan-persatuan daripada sektor pengangkutan juga sampaikan memorandum berkongsi kepayahan mereka dan turut berharap wang simpanan mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Tiada guna membicarakan masa depan jika kelangsungan hidup masa sekarang juga tiada jaminan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, video lagu parodi berdurasi lima minit sembilan saat yang dihasilkan itu turut berkongsi bait-bait lirik yang mengharapkan pihak terlibat memahami kesulitan yang dilalui oleh rakyat dan amat memerlukan wang pengeluaran KWSP i-Citra RM10,000 secara 'one off'.

“Ku mengharapkan i-Citra datang 'one-off' sepuluh ribu yang ku harap membantuku. Segala telah terbukti sampai mati takkan diberi, bagaikan mimpi di dalamnya mimpi, kedekutnya.

“Apa yang kau beri dan kami dapatkan, ku tak percaya. Ternyata yang mudah sukar nak diminta, bak negara kau yang punya, sehingga ku sanggup melutut meniarap merayu walau meminta duit sendiri,” antara lirik lagu parodi berkenaan yang diubah suai daripada lagu asal, Kembali Merindu oleh Slam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!