Fahmi Reza tak mengaku salah buat hantaran jelik
KUALA LUMPUR - Pereka grafik dan aktivis masyarakat, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan membuat komunikasi jelik berhubung peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari luar negara melalui aplikasi Twitter, Februari tahun lalu.
Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Ia dibuat melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter Fahmi Reza atau@kuasasiswa pada jam 3.02 petang, 10 Februari 2021.
Hantaran itu telah dibaca pada jam 4 petang, 11 Februari tahun sama, di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.
Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Rajsurian Pillai merayu agar diberi ikat jamin pada kadar rendah.
"Anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan malah dia tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Sabariah membenarkan OKS diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!