Bangga biarpun tewas kepada City
BIARPUN tewas 0-2 kepada Manchester City bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis, pengendali Brentford, Thomas Frank tetap berbangga dengan aksi mantap dipersembahkan skuad kendaliannya itu.
Menurutnya, kesebelasan The Bees telah mempamerkan aksi terbaik, terutamanya di benteng pertahanan hingga menyukarkan jentera serangan City untuk menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan berkenaan.
“Daripada perspektif bertahan, saya boleh katakan kami telah beraksi dengan cukup baik atau hampir sempurna bagi mengekang asakan-asakan jentera serangan City.
“Bagaimanapun, kedua-dua gol diperoleh City adalah berpunca daripada kesilapan pemain yang ‘memberikan’ sepakan penalti termasuk gol kedua kepada lawan.
“Apa pun secara keseluruhannya, kami berjaya memberikan kesukaran kepada mereka dengan mempamerkan disiplin yang tinggi, namun akhirnya akibat kelekaan, kami dihukum dengan dua gol daripada mereka (City),” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, City menjaringkan gol menerusi Riyad Mahrez pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti sebelum Kevin De Bruyne menjaringkan gol kedua pada minit ke-69.
Sementara itu, Frank berharap skuad kendaliannya itu dapat memperbaiki kelemahan yang ada bagi mengharungi perlawanan seterusnya.
“Kita perlu lihat dan kaji semula persembahan kita, terutamanya daripada segi etika dan juga sikap yang dipamerkan dalam satu perlawanan.
“Apa pun bagi saya, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan kami ketika berdepan City dan berharap aksi seperti ini dapat diteruskan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!