Kerajaan pertimbang keluar kad warga asing di Sabah

Hamzah (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Hamzah (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan kad warga asing kepada mereka yang telah tinggal bertahun-tahun di Sabah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, pengeluaran kad itu dicadangkan oleh kerajaan negeri Sabah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita rasa adalah satu cadangan yang baik sebab punca kuasa yang ada adalah punca kuasa oleh Menteri Dalam Negeri dan kita memang boleh mengeluarkan kad warga asing ini.

“Sekurang-kurangnya semua orang yang ada dalam negara kita ini ada kadnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) bilangan satu tahun 2022 di KDN pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, masalah di Sabah adalah amat sulit kerana warga asing ini telah tinggal di negeri berkenaan dalam jangka masa yang lama.

“Dia sudah tinggal lama, kalau kita nak hantar balik, dia telah tinggal 30 tahun di sini. Katalah generasi kedua atau ketiga, kita nak hantar dia balik ke negara asal keturunan mereka. Dia pun tidak tahu kampungnya di mana dan siapa keluarganya.

“Tapi dalam waktu yang sama mereka ini sudah duduk di Sabah dan kita tahu mereka ini warga asing serta tidak ada dokumen langsung. Disebabkan itu kita nak selaraskan kita beri kad warga asing,” jelasnya.

Menurutnya, apa yang penting adalah ‘keberadaan’ setiap individu tinggal di negara ini dan mereka perlu mempunyai dokumen atau identiti agar pihak kerajaan mengetahuinya.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kita tak tahu negara asalnya di mana tetapi kita tahu dia warga asing. Itu penting kepada kita,” ujarnya.

Hamzah bagaimanapun menyatakan bahawa pihaknya belum mengetahui berapa jumlah yang akan memperolehi kad tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!