PN tiada masalah tawarkan banyak kerusi kepada Pas
KULAI - Perikatan Nasional (PN) Johor tidak mengalami sebarang masalah dalam isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama komponen parti khususnya Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, perkara itu sudah dibincangkan secara bersama dan setakat ini PN juga tidak keberatan sekiranya mahu menawarkan kerusi dengan jumlah yang besar kepada parti berkenaan.
"Memang kita ada perbincangan dengan Pas mahu pun Gerakan sebab kita satu komponen (PN). Mereka (Pas) dah maklumkan berapa kerusi yang mahu ditandingi. Berapa yang diminta buat masa ini saya tidak boleh beritahu lagi.
"Tetapi kita memang beri, kita ini (PN) adalah kumpulan yang bertimbang rasa, kita tidak sombong, jadi kita akan beri kerusi yang agak banyak kepada komponen kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke-25 Persatuan Tuan Punya dan Pemandu Teksi Kulai di Dewan Utama Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kulai di sini, pada Khamis.
Mohd Solihan berkata, proses pemilihan calon bagi PN juga sudah hampir dimuktamadkan termasuk setiap komponen parti akan ditentukan bertanding di kawasan mana.
"Kita sekarang ini dalam proses pembahagian yang hampir muktamad untuk parti komponen bertanding di mana. Selain itu untuk peringkat kedua kita juga sedang meneliti calon-calonnya.
"Ini kerana ada beberapa kawasan itu pilihan calonnya lebih daripada satu, perkara ini akan dibawa oleh jawatankuasa dan kemudiannya akan dipertimbangkan di peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ledang berkata, perbincangan juga dilakukan melibatkan permintaan dan arahan pertukaran kawasan bertanding bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah terpilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.
"Ada juga perubahan kepada cadangan kepimpinan untuk meletakkan calon yang dahulu bertanding di kawasan A akan bertanding di kawasan B. Kita lihat perkara itu adalah perkara biasa untuk dinamik perubahan yang lebih baik bagi parti dan juga kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!