PdP IPT: Hibrid atau secara dalam talian tertakluk kepada universiti
PUTRAJAYA - Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institut pengajian tinggi (IPT) secara hibrid atau secara dalam talian adalah dibenarkan, tertakluk kepada keputusan pihak universiti itu sendiri, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
KPT dalam kenyataan pada Khamis berkata, IPT juga perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PdP yang ketat.
Ia susulan pengumuman kerajaan semalam yang membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.
"Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang sesuai, selain memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran dan kehidupan dalam kampus,” kata KPT.
KPT turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaannya dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus, serta akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus berjalan lancar.
Pelajar yang pulang ke kampus diminta terus mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri, manakala aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya.
Antara SOP ditetapkan KPT dan KKM adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.
Untuk maklumat lanjut, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-88706777/6949/6623/6628, melayari laman web IPT atau menghubungi pegawai penyelaras IPT masing-masing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!