Penternak lega dapat subsidi ayam, telur

Keputusan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu sedikit sebanyak melegakan pengusaha ternakan ayam. (Gambar kecil: Tan Wooi Perng )
Keputusan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu sedikit sebanyak melegakan pengusaha ternakan ayam. (Gambar kecil: Tan Wooi Perng )
A
A
A

IPOH - Persatuan Penternak Manjung menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memberikan subsidi bagi ayam dan telur ayam.

Pengerusinya, Tan Wooi Perng berkata, keputusan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu sedikit sebanyak melegakan pengusaha ternakan ayam.

Menurutnya, walaupun jumlah itu tidak seperti yang diharapkan, ia tetap membantu meringankan beban penternak.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan kami dengan mengumumkan pemberian subsidi tersebut.

"Tetapi kita harap juga kadar subsidi dapat dinaikkan lagi memandangkan harga dedak ayam dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, subsidi tersebut diharap dapat ditambah mengikut harga pasaran makanan bagi ternakan tersebut.

Sementara itu, beliau turut meminta kerajaan segera menjelaskan prosedur mendapatkan subsidi tersebut bagi memudahkan penternak membuat tuntutan.

Wooi Perng dalam sidang akhbar pada Selasa menggesa kerajaan mencari mekanisme terbaik dalam pemberian subsidi bagi mengelakkan penternak terus mengalami kerugian hingga jutaan ringgit sehari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gesaan itu dibuat berikutan harga dedak yang meningkat secara mendadak menyebabkan lebih 200 penternak ayam di daerah Manjung berdepan risiko gulung tikar.

Pada Rabu, kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!