Empat penarik kereta didenda RM3,000 kerana merusuh atas lebuh raya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Gara-gara merusuh di atas lebuh raya, empat penarik kereta pada Khamis didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab turut memerintahkan keempat-empat mereka dihukum penjara tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tan Cheng Hooi, 50, Y.A. Dharanidharan, 30, Lee Soon Aun, 36, dan Khoo Boo Aik, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama empat lagi yang tidak mengaku bersalah, mengambil bahagian dalam satu rusuhan dan dengan sengaja telah merusuh menggunakan topi keledar, rantai besi dan mangga di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 2.13 petang, 26 Januari lepas.

Kesemua lapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim dan keempat tertuduh yang mengaku salah diwakili peguam Kenzaly Goik manakala mereka yang tidak mengaku bersalah S. Surendren, 27, N. Lekkeswaran, 27, Muhammad Zhafar Megat Zabil, 22, dan Muhammad Faiez Ahmad, 21, diwakili peguam Malkit Kaur dan Dilsimran Kaur.

Nur Melati Diana membenarkan jaminan masing-masing RM2,500 dengan seorang penjamin kepada keempat-empat tertuduh dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lepas, video rakaman orang awam mengenai pergaduhan sekumpulan lelaki di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini telah tular di media sosial yang punca pergaduhan itu dipercayai berkaitan urusan menarik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua kenderaan lain di situ.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, enam individu turut didakwa atas kesalahan bergaduh sesama mereka sehingga mengganggu ketenteraman awam di tempat awam pada 1 Februari lepas.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Ridzuan Rawther, 33, Rais Ahmad Mohamud Hussain, 38, Anwar Ibrahim Noorkan, 39, Jamil Kader Gani, 36, Mohamad Khrom Mohamad Salam, 32, dan Ridzuan Mohamad Salam, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka telah dituduh secara bersama melakukan 'gaduh gempar' sehingga mengganggu ketenteraman awam di Kedai Astaka Medan Renong, Padang Kota Lama pada jam 11.40 malam, 1 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau didenda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua mereka diwakili peguam Anil Singh Khera manakala pendakwaan dikendalikan Mohammad Nazri.

Nur Melati Diana membenarkan ke semua tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap orang dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula.

Pada 2 Februari lepas, video berdurasi 44 saat telah tular dalam media sosial memaparkan dua kumpulan individu bergaduh di Medan Selera Padang Kota Lama sehingga menyebabkan pelanggan yang sedang menikmati makanan bangun dari situ berikutan bimbang dengan keselamatan mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!