Perlu ada penyelesaian jangka panjang selain subsidi telur, ayam

Aminuddin (kiri) ketika menyempurnakan penyerahan diploma pelajar Kolej Vokasional Ampangan, Seremban.
Aminuddin (kiri) ketika menyempurnakan penyerahan diploma pelajar Kolej Vokasional Ampangan, Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Satu penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan kos makanan dalam industri ternakan di negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan itu perlu selain subsidi jangka pendek yang sedia ada.

" Pelan jangka panjang itu penting bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penternak dalam industri tersebut yang bukan hanya melibatkan ayam tetapi membabitkan haiwan lain seperti lembu dan kambing yang turut berdepan masalah sama.

"Saya berharap kerajaan memikirkan untuk membantu mengeluarkan makanan ternakan kepada semua aktiviti ternakan di negara ini supaya perkara ia dapat diatasi dalam jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan di Casa Lagenda Convention Centre, Seremban di sini pada Khamis.

Jelasnya, jika terdapat kerjasama kerajaan dan swasta dalam mengeluarkan makanan ruminan pihaknya yakin isu harga ini dapat dikawal.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan juga akan memberi subsidi lima sen sebiji kepada pengeluar dan penternak untuk semua jenis kategori telur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 131 pelajar Kolej Vokasional Ampangan di sini menerima diploma masing-masing yang di sempurnakan oleh Aminuddin.

Aminuddin berkata, graduan Kolej Vokasional mampu membina masa depan yang lebih gemilang dan membawa nama Kolej Vokasional apabila mereka mula memasuki pasaran pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.

" Saya menyeru kepada seluruh warga Kolej Vokasional untuk teruskan usaha membawa nama kolej ini menjadi yang terdepan dalam meniti arus Revolusi Industri 4.0 dan meniti arus pemodenan global pendidikan masa kini.

" Pelbagai kejayaan telah dicapai terutama dalam pertandingan Reka Cipta dan Inovasi peringkat antarabangsa yang telah memberi impak yang sangat besar, bukan sahaja meningkatkan imej kolej, bahkan meletakkan KV di peta dunia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!