Selangor belum muktamad SOP di bazar Ramadan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor belum memutuskan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pengendalian bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, keputusan akan dibuat selepas selesai perjumpaan bersama PBT di negeri itu.
"Setiap PBT mempunyai kaedah tersendiri menentukan kesesuaian penganjuran bazar Ramadan mengikut lokaliti masing-masing dan ini banyak dipengaruhi oleh Covid-19 yang mengikat kita dengan pelbagai SOP.
"Kerajaan negeri masih meneliti perkembangan Covid-19 dalam negara dan sedang mendapatkan input dari setiap PBT termasuk permohonan (peniaga) di bazar Ramadan tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat syarat atau SOP baharu perlu dipatuhi PBT di negeri itu tahun ini, katanya, sebarang perubahan mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Keputusan itu juga bergantung kepada SOP disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!