Kedai pembekal senjata api tidak rasa bertanggungjawab

Kedai senjata api Gun City di Christchurch. - Foto AFP
Kedai senjata api Gun City di Christchurch. - Foto AFP
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Kedai senjata api yang menjual senjata kepada pengganas serangan masjid di Christchurch berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab ke atas kematian 50 jemaah yang ditembak dalam kejadian Jumaat lalu.

Pengarah Urusan Gun City David Tipple mengesahkan, pihaknya menjual empat senjata api dan peluru kepada pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

"Kami tidak mengesan sesuatu yang mencurigakan tentang pemegang lesen berkenaan (Tarrant)," kata Tipple dalam satu sidang media di Christchurch, hari ini.

Menurut Tipple, Tarrant mendapat lesen senjata api kategori A pada November 2017 dan membeli empat senjata dalam tempoh empat bulan melalui pembelian atas talian, Gun City mempunyai rekod pembelian dan telah memberikan butiran lanjut kepada pihak polis.

Tipple menambah, senjata semi automatik ala tentera (MSSA) yang digunakan pengganas ketika melakukan serangan tidak berasal dari kedainya.

"Kami tidak menjual raifal yang digunakan ketika serangan, saya telah melihat video tersebut dan ia tidak berasal dari mana-mana cawangan kedai Gun City," katanya lagi.

Ditanya tentang penggunaan senjata api yang dijual oleh kedainya, Tipple memberi alasan ia bukan masa sesuai untuk berdebat tentang senjata.

Beliau turut mengatakan tidak berasa bertanggungjawab ke atas tragedi yang berlaku, malah akan terus menjual senjata api kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kelayakan yang diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Tugas menapis kelayakan permohonan lesen senjata api adalah tanggungjawab pihak polis," katanya.

Statistik terkini yang diperolehi menunjukkan pihak polis meluluskan 99.6 peratus daripada hampir 45,000 permohonan pada tahun 2017, tahun sama Tarrant mendapat lesen.

Disebalik janji Perdana Menteri Jacinda Ardern untuk mengetatkan undang-undang senjata api New Zealand, Tipple berkata pihaknya hanya akan menarik model AR15 daripada pasaran, sekiranya diwajibkan oleh undang-undang. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!