Letup mesin ATM: Usaha kesan suspek giat dijalankan

Mesin ATM yang dipercayai diletupkan dua penjenayah sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru pada Selasa.
Mesin ATM yang dipercayai diletupkan dua penjenayah sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Polis masih mengesan dua suspek terlibat dalam rompakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, usaha mengesan suspek masih dijalankan pihaknya.

"Kedua-dua suspek terlibat dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun dan dikesan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan disyaki kereta klon dengan nombor pendaftaran palsu.

"Usaha mengesan suspek masih giat dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, pihak polis percaya kejadian rompakan di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru di sini dilakukan oleh penjenayah profesional.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek menggunakan sejenis gas yang disalurkan menggunakan wayar ke dalam komponen mesin ATM sebelum meletup.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati kedua-dua suspek ada kemahiran dan profesional boleh masuk premis itu sehingga memecahkan (meletupkan) mesin ATM.

"Kejadian sebegini pernah berlaku di beberapa buah tempat termasuk di Johor sebelum ini. Susulan letupan itu, kedua-dua suspek tersebut berjaya melarikan wang berjumlah RM260,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, dua penjenayah meletupkan mesin ATM di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru di sini.

Kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM telah terbuka.