BATC 2022: Malaysia ada peluang jejak pentas final

Aaron dan Wooi Yik menjadi sandaran menyumbang mata buat Malaysia pada BATC 2022 yang bermula Selasa ini.
Aaron dan Wooi Yik menjadi sandaran menyumbang mata buat Malaysia pada BATC 2022 yang bermula Selasa ini.
A
A
A

PEMAIN beregu, Aaron Chia percaya skuad lelaki negara mempunyai kekuatan tersendiri bagi merebut slot final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bakal membuka tirainya Selasa ini.

Aaron berkata, barisan pemain negara kini berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi kejohanan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu.

Menurutnya, skuad negara berpeluang cerah merealisasikan sasaran ke pentas final berdasarkan undian yang menyaksikan mereka diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Jepun, Singapura dan Kazakhstan.

“Persediaan pasukan negara kini sangat baik dan semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi BATC nanti.

“Kalau kita lihat pasukan kali ini, selain daripada Lee Zii Jia, saya dan Wooi-Yik, pemain perseorangan dan beregu kedua negara juga dilihat mempunyai potensi untuk menyumbang mata.

“Tapi kami tidak terlalu over confident. Apa yang penting setiap pemain yang akan turun beraksi perlu bagi sehabis baik pada setiap perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, pada edisi 2020 yang berlangsung di Filipina, skuad lelaki negara berjaya mencipta kejutan apabila mara ke final sebelum terpaksa akur tewas 1-3 kepada juara tiga kali, Indonesia.

Pada edisi kali ini, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir, sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei depan.

Artikel Berkaitan:

Aaron dan Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi taruhan terbaik skuad lelaki negara untuk menyumbang mata.

Selain gandingan utama itu, Zii Jia yang akan mengetuai cabaran Malaysia turut diletakkan sandaran bagi menghadiahkan 'mata semangat' apabila tampil sebagai perseorangan pertama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!