'Cemerlang berkat doa ibu'

Wan Nurfassolihah
Wan Nurfassolihah
A
A
A

KUANTAN - "Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini kerana saya belajar biasa- biasa sahaja," kata Wan Nurfassolihah Wan Mohd Kamal, 22, yang merupakan pelajar cemerlang dan penerima Anugerah Diploma Tahfiz bagi tahun 2019 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 dalam jurusan syariah di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Namun, Wan Nurfassolihah mengakui doa ibu adalah senjata penting dalam menentukan kejayaan, selain perlu berusaha keras untuk berjaya.

"Saya jadi kuat sebab ibu dan saya berdiri di atas pentas pada hari ini disebabkan doa daripada ibu dan orang-orang di sekeliling yang mahu saya cemerlang serta berjaya," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan dan khatam hafazan Al-Quran MTNP 2021 di Hotel Zenith di sini pada Khamis.

Dia kini menyambung pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Halal Industri di Universiti Teknologi Mara (Uitm).

Bagi, penerima Anugerah Kokurikulum 2021, Muhammad Asyraf Azhar, 18, yang mewakili Maahad Tahfiz dalam Debat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa berkata, pengurusan masa antara faktor kenyataan dalam bidang kokurikulum.

Muhammad Asyraf
Muhammad Asyraf

Menurutnya, sistem pembelajaran di Maahad Tahfiz agak berbeza dengan sekolah aliran perdana kerana perlu memfokuskan tiga perkara utama seperti menghafaz al-Quran, bidang akademik dan kokurikulum.

"Jadi, saya perlu membahagikan masa sebaiknya, pada sebelah pagi saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembacaan al-Quran kemudian belajar dan dan selepas solat Maghrib mula menghafaz serta bertasmik bersama ustaz,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ouswa Huseina Badli Shah, 18, antara penerima Anugerah Kokurikulum 2019 selepas beroleh kejayaan dalam bidang robotik sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ouswa Huseina
Ouswa Huseina

Menurutnya, percubaannya dalam bidang tersebut ternyata memberikannya peluang untuk lebih ke hadapan khususnya dalam bidang penyampaian.

“Dengan tunjuk ajar bapa, Badli Shah Alauddin dan beberapa tips yang dikongsikan bersama, saya gunakan sebaiknya ketika mewakili MTNP dalam pertandingan Robotik di Bangkok, Thailand.

“Alhamdulillah saya gembira dan berbesar hati dengan berkat usaha serta doa daripada orang sekeliling mampu memperoleh kecemerlangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!