Kembar seiras antara pelajar cemerlang pendidikan vokasional

Muhammad Aidil Mohamad Fazli, 21, (dua dari kanan) dan Muhammad Fitri Mohamad Fazil, 21, (dua dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya pada majlis berkenaan.
Muhammad Aidil Mohamad Fazli, 21, (dua dari kanan) dan Muhammad Fitri Mohamad Fazil, 21, (dua dari kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Pasangan kembar seiras berjaya membuktikan mereka boleh menjadi pelajar cemerlang dalam bidang kemahiran pendidikan vokasional pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Ampangan Ke-6 di sini pada Khamis.

Pasangan kembar itu, Muhammad Aidil dan Muhammad Fitri Mohamad Fazli berusia 21 tahun mengambil Diploma Teknologi Elektrik telah mencapai impian dalam bidang tersebut dan kini bekerja sebagai Juruteknik di sebuah kilang elektronik di Senawang.

Kedua-duanya mencatat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) masing-masing 3.73 dan 3.72.

Menurut Muhammad Aidil, mempunyai adik-beradik seusia antara kelebihan mereka mencapai kecemerlangan tersebut berikutan mudah untuk mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

" Kami kembar dan satu kelas, jika saya tidak faham adik akan bantu, begitu juga sebaliknya.

"Selain berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam bidang akademik, kami tetap aktif bermain sepak takraw," katanya.

Tambahnya, selepas tingkatan tiga mereka memilih untuk meneruskan pengajian di Kolej Vokasional Ampangan kerana minat yang mendalam dalam bidang teknikal.

"Tidak sangka kami diterima masuk ke Kolej Vokasional Ampangan dalam jurusan yang sama iaitu Diploma teknologi elektrik memandangkan pada awalnya kami memohon jurusan automotif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Harith Mohammad Ghazal,21.
Ahmad Harith Mohammad Ghazal,21.

Sementara itu, seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik Program (APTP) Tahun 2021 dan Anugerah Pengarah Kolej Vokasional Ampangan, Ahmad Harith Mohammad Ghazal,21 berkata, kejayaannya ini adalah berkat doa ibu bapa,keluarga selain guru di kolej berkenaan.

" Tiada jalan kejayaan yang spesifik cuma apa yang penting adalah fokus dalam melakukan apa juga perkara selain menjaga adab, bertanggungjawab dan tidak meninggalkan solat lima waktu.

" Alhamdulillah dengan belajar di Kolej Vokasional ini saya dapat membuktikan dengan belajar ilmu kemahiran juga mampu mencipta sejarah tersendiri dan berjaya sehingga ke menara gading," katanya yang kini menyambung pengajian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan di temui media selepas selesai majlis tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!