Barat bimbang latihan ketenteraan Rusia, Belarus
MOSCOW - Rusia dan Belarus melancarkan latihan ketenteraan bersama pada Khamis ketika ketegangan meningkat dengan negara Barat selain pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggesa usaha diplomatik bagi mengelakkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Pemimpin di negara Barat sebelum ini memberi amaran bahawa Rusia sedang bersedia meningkatkan konflik selepas menempatkan kira-kira 100,000 tentera di sekitar Ukraine.
Amerika Syarikat (AS) berkata, Rusia turut menempatkan kira-kira 30,000 tentera di negara jiran, Belarus bagi menjalani latihan ketenteraan yang bermula pada Khamis.
Namun, Moscow dan Minsk tidak menyatakan berapa ramai tentera terbabit dalam latihan tersebut, tetapi Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan latihan telah pun bermula.
"Objektif latihan bagi menangkis pencerobohan luar dengan operasi pertahanan," kata kementerian.
Tambahnya, latihan turut menumpukan bagi 'memerangi keganasan dan mempertahankan kepentingan Negara Kesatuan, yang merujuk kepada pakatan ketenteraan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Kremlin menegaskan tenteranya akan kembali ke Rusia selepas latihan itu.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!