Anggur Jerantut setara buah import

Syed Norhaimi gembira kerana cubaannya menanam anggur membuahkan hasil.
Syed Norhaimi gembira kerana cubaannya menanam anggur membuahkan hasil.
A
A
A

JERANTUT - Dulu strawberi, kini pokok anggur pula memenuhi persekitaran rumah sejak 2020 hingga kini.

Syed Norhaimi Syed Zin, 57, dari Taman Seri Embun di sini mula beralih kepada penanaman varieti anggur jenis manis, 'table grape' sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020 lalu.

Menurutnya, sebelum ini, dia menanam anggur jenis masam, 'wine grape' sejak 20 tahun lalu sebelum mencuba varieti 'table grape'.

Bekas kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) itu memberitahu anggur atau nama saintifiknya, Vitis juga menjadi pendapatan sampingannya susulan masyarakat mula membeli anak pokok buah tersebut daripadanya.

Pelbagai varieti anggur yang ditanam oleh Syed Norhaimi di sekeliling rumahnya.
Pelbagai varieti anggur yang ditanam oleh Syed Norhaimi di sekeliling rumahnya.

"Anak pokok berasal dari Eropah ini ditanam di sekeliling rumah dan dijual setiap satu pada harga antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada jenis varieti.

"Dulu saya usahakan strawberi namun kerana ia mudah diserang penyakit menyebabkan saya beralih arah.

"Tanam anggur tidak memerlukan kawasan luas selain kita sendiri boleh tentukan masa untuk keluarkan hasil, ia memerlukan tempoh lapan bulan untuk matang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, situasi itu juga menyebabkan kawasan rumahnya menjadi tumpuan masyarakat setempat yang tertarik dengan pemandangan dan lanskap terhasil.

Ujarnya lagi, iklim Khatulistiwa menyebabkan anggur boleh mengeluarkan hasil lebih kerap berbanding iklim di Eropah hanya sekali untuk sepanjang tahun.

"Namun anggur juga memerlukan penjagaan rapi dengan menggunakan plastik pelindung hujan kerana ia mudah terkena kulat.

"Selain itu anak pokok anggur juga mahal bergantung jenis varieti namun saya percaya harganya akan lebih murah nanti dalam tempoh beberapa tahun memandangkan masyarakat di negara ini sudah mula membuka mata terhadap penanaman anggur," jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.

Buah anggur yang bergantungan juga menjadi terapi buat Syed Norhaimi dan isterinya.
Buah anggur yang bergantungan juga menjadi terapi buat Syed Norhaimi dan isterinya.

Dalam pada itu, selain memberikan pendapatan sampingan, Syed Norhaimi menyifatkan ia menjadi terapi jiwa buat dia dan isterinya, Sharifah Zuriah Syed Zainal Abidin, 53, kerana lanskap menarik yang terhasil.

"Rasa tenang melihat suasana buah anggur yang bergantungan selain dapat menikmati buahnya yang dipetik di halaman rumah sendiri," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!