PKR Perak hormati keputusan Farhash tanding di Selangor

Farhashiri) dan Tinagaran (kanan)
Farhashiri) dan Tinagaran (kanan)
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menghormati keputusan pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk bertanding di PKR Cabang Gombak pada pemilihan parti akan datang.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana hasrat untuk bertanding di Gombak itu sudah disuarakan pemimpin berkenaan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, misi Farhash Wafa Salvador di Perak untuk menambah ahli dan ranting serta memperkukuhkan parti telah berjaya dicapai dengan kewujudan 500 ranting dan 70,000 ahli baharu di negeri.

"Kita secara bersama sebenarnya berat hati dengan keputusan Farhash keluar dari Perak tetapi disebabkan hasratnya untuk memperkukuhkan PKR Selangor dan pusat, kita merelakan tindakan itu. Jadi tidak timbul isu kononnya PKR Perak tolak kepimpinan Farhash.

"Bagaimanapun, kita tetap berharap Farhash akan bertanding di salah satu kerusi sama Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Ini memang ada desakan daripada pimpinan negeri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tinagaran berkata, selain itu Farhash Wafa Salvador yang juga Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar juga berjaya memperkukuhkan parti apabila mendapatkan semua kerusi-kerusi di Perak yang dipinjamkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu kembali menjadi milik PKR.

Jelasnya, sehingga kini, Farhash Wafa Salvador masih lagi Pengerusi PKR Perak sehingga pemilihan dan selepas itu Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menentukan pengganti.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak menjadi masalah jika pengerusi MPN dilantik dalam kalangan pemimpin yang bukan dari negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap, hasrat dan cita-cita politik Farhash akan berjaya direalisasikan untuk memperkukuhkan PKR Selangor dan PKR pusat.

"Di Perak, Farshash berjaya meletakkan PKR sebuah parti yang disegani di dalam Pakatan Harapan dan kita harap aura itu dapat dibawa ke mana sahaja beliau berada," katanya.

Farhash Wafa Salvador sebelum ini dilaporkan akan bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Gombak yang kini disandang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pemilihan PKR yang dijadual berlangsung pada April depan.

Beliau yang mengesahkan perkara itu menjelaskan langkah tersebut sebagai satu proses demokrasi dan tindakannya itu adalah selaras dengan peraturan dan peruntukan yang termaktub dalam parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!