Klopp puji Diaz
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memuji pemain baharu Luis Diaz selepas tonggak Colombia itu mempamerkan penampilan mengagumkan pada penampilan sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika The Reds menang 2-0 ke atas Leicester City di Anfield.
Malah menurut Klopp, beliau mendapati pemain sayap yang tampil aksi mempesonakan itu seolah-olah sudah dapat mengikuti gaya permainan kelab Merseyside tersebut.
“Apabila kami melihat dia bermain untuk Porto sebelum ini, itulah gaya sama yang kami mahu dia lakukan untuk Liverpool.
“Selain itu, dia nampaknya seperti seorang pemain yang bijak dan jelas telah banyak menonton perlawanan Liverpool.
"Kami tidak membebankan pemain baharu dengan maklumat pada minggu pertama dan memberitahu semua perkara yang kami mahu mereka lakukan, sebaliknya kami hanya melihatnya dalam latihan dan mendapati dia sudah kelihatan seperti pemain Liverpool," kata Klopp.
Diaz menyertai Liverpool pada hari tarikh akhir Januari minggu lalu dari kelab Portugal, Porto dan membuat penampilan sulung sebagai pemain simpanan dalam kemenangan Piala FA ke atas Cardiff City hujung minggu.
Klopp yang cukup kagum penampilan sulung sebelum itu teruja menurunkan pemain berusia 25 untuk menentang The Foxes.
Diaz membalas kepercayaan itu apabila menghadirkan pelbagai kesulitan sepanjang perlawanan kepada bahagian pertahanan pelawat kendalian Brendan Rodgers tersebut.
Dalam aksi tersebut, satu gol setiap babak jaringan Diogo Jota sudah memadai untuk Liverpool mengatasi Leicester, sekali gus membantu The Reds merapatkan jurang dengan pendahulu Manchester City kepada sembilan mata.
Mengulas kemenangan itu, Klopp mengakui tidak pasti tiga mata tersebut memberikan tekanan kepada skuad kendalian Pep Guardiola tersebut.
"Saya tidak pasti kami berada dalam kedudukan untuk membuat Manchester City berada dalam tekanan.
“Tetapi itu tidak penting buat masa ini. Saya rasa kami tidak mempunyai banyak peluang untuk menyaingi mereka berdasarkan situasi semasa.
"Biarpun begitu adalah sangat penting bagi kami untuk menang perlawanan ini kerana bukan sahaja untuk mengejar Manchester City, tetapi juga disebabkan terdapat terlalu banyak pasukan di belakang yang sedang menghimpit kami dalam baki saingan liga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!