Polis tahan dua remaja berlumba
ALOR SETAR - Dua remaja yang sedang berlumba ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di lampu isyarat Kedondong Pokok Sena dan sekitar Bandaraya Alor Setar yang berakhir pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bagaimanapun ujian saringan awal urin mendapati kedua-dua mereka negatif dadah tetapi akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurut beliau, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan saman membabitkan kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh, mengubahsuai kenderaan serta pelbagai kesalahan trafik lain.
"Tindakan tegas dan proaktif oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti seumpama ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Ahmad Shukri turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengawasi anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!