Bekalan telur, ayam kembali stabil di Kelantan

Nor Aswani Ibrahim tetap menjual telur seperti biasa walaupun harga yang dikenakan kali ini lebih tinggi dari biasa.
Nor Aswani Ibrahim tetap menjual telur seperti biasa walaupun harga yang dikenakan kali ini lebih tinggi dari biasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Bekalan telur ayam di Kelantan kini kembali stabil walaupun harganya lebih tinggi dari biasa.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah kedai menjual telur di Pasar Tok Guru di Pengkalan Chepa di sini mendapati bekalan makanan asas itu kembali pulih selepas hampir seminggu berdepan kekurangan stok.

Seorang peniaga, Nazarudin Husin 46, memberitahu, hampir seminggu dia tidak dapat menjual telur kerana masalah berkenaan.

Nazaruddin (kanan) mendakwa bekalan telur kembali pulih sejak Khamis.
Nazaruddin (kanan) mendakwa bekalan telur kembali pulih sejak Khamis.

Nazarudin memberitahu, ketika kekurangan telur dia hanya mampu menjual kurang daripada 20 papan sehari berbanding 50 papan sebelum ini.

"Harga pun naik sedikit dengan gred A dijual pada harga RM14.50, gred B pula RM14 dan RM13 untuk gred C.

"Walaupun harga meningkat namun jualan tetap seperti biasa tambahan lagi melibatkan pelanggan tetap yang kebanyakannya merupakan peniaga makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga telur di Pasar Siti Katijah, Nor Alia Zaman, 30, memberitahu perkara sama dan berharap bekalan telur tidak akan terjejas sehingga memberi kesan kepada peniaga makanan.

Nor Alia turut berdepan 'kekeringan stok' selama dua hari namun kini bekalan sudah pulih walaupun harga masih tidak berubah.

"Mahal pun tidak mengapa asalkan ada bekalan. Kesian peniaga makanan kerana telur merupakan bahan mentah wajib untuk kuih, nasi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, tinjauan penjualan ayam di lokasi sama turut menunjukkan bekalan stabil.

Peniaga, Mohd Nazuwan Nazari, 26, memberitahu, bekalan ayam belum pulih sepenuhnya dan keadaan itu menyebabkan peniaga tidak boleh menjanjikan ayam tambahan untuk pelanggan.

Mohd Nazuwan berharap bekalan ayam juga tidak akan terjejas lagi selepas ini.
Mohd Nazuwan berharap bekalan ayam juga tidak akan terjejas lagi selepas ini.

"Rata-rata pelanggan kita merupakan peniaga makanan. Kita tidak boleh menjanjikan bekalan yang mencukupi sebab semunya 'on-off'," katanya.

Seorang peniaga ayam borong di Tanah Merah, Mohd Din Zaki, 50, ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, bekalan ayam di daerah itu juga ada sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun dia berharap bekalan berkenaan akan bertahan minggu ini kerana terpaksa berdepan kerugian apabila tidak dapat berniaga dalam tempoh lebih tiga hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!