'Konsep wakaf kekuatan umat Islam bukan sedekah jariah semata'

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep wakaf adalah kekuatan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh umat Islam, namun ia bukan sekadar merangkumi ibadah sedekah jariah semata-mata.

Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Fahmi Bazlan menegaskan, wakaf adalah solusi kepada pelbagai permasalahan dalam kalangan umat Islam dan masyarakat di bawah naungan kerajaan Islam.

Bagaimanapun, katanya, antara cabaran perlu dihadapi dalam memperluaskan wakaf sebagai strategi mempelbagaikan sumber kewangan, terutama untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera adalah sistem perniagaan sedia ada.

“Jika konsep wakaf diperluas hanya sekadar mendanai pemerkasaan usahawan, maka mereka masih terperangkap dalam lingkungan pemborong dan pengguna sekunder, bukan pengeluar produk.

“Sedangkan, matlamat wakaf adalah menyelesaikan masalah utama, bukan sekadar bantuan atau subsidi yang masih memberi kelebihan kepada pengeluar,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

November lalu, kerajaan dilaporkan sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasakan pengurusan wakaf di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, dalam menggembleng pendekatan ‘whole-of-nation’, institusi wakaf perlu bersama-sama memainkan peranan melonjakkan sosioekonomi komuniti, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, konsep wakaf mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara, disebabkan itu kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Fahmi mengakui tertarik apabila konsep wakaf dijadikan sebahagian kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berpandangan, walaupun cadangan itu amat baik namun ia masih dalam kerangka cabang dan tidak menyelesaikan masalah pokok.

“Hari ini masalah semakin ketara, isu kenaikan harga besi, minyak masak, telur dan banyak lagi perbekalan akan mengalami masalah monopoli dan penindasan untuk keuntungan segera kumpulan kapitalis tanpa memikirkan masalah rakyat.

“Seolah-olah tiada jaminan kepada keperluan rakyat dalam Malaysia, walaupun hari ini negara dipimpin orang Islam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!