Zii Jia intai peluang berlatih di Dubai
PEMAIN perseorangan utama negara Lee Zii Jia mengakui mempunyai perancangan untuk berlatih di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada masa depan.
Bagaimanapun, pemain di ranking ketujuh dunia yang bergerak secara profesional itu hanya mahu menumpukan untuk pembentukan pasukannya sendiri yang dijangka dapat diselesaikannya menjelang Terbuka Jerman bulan depan sebelum menjalani latihan di UAE.
“Macam saya cakap, keutamaan selesaikan pasukan dahulu lepas itu, ya akan pergi sana (Dubai),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, pada Jumaat.
Sekiranya Zii Jia memutuskan untuk berlatih di Dubai, beliau bakal mengikut jejak langkah pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Viktor Axelsen dari Denmark dan juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura yang menjadikan lokasi itu sebagai pusat latihan mereka ketika ini.
Juara Seluruh England 2021 itu pada masa sama memaklumkan telah ‘dilamar’ empat syarikat peralatan badminton terkemuka untuk menjadi penaja, namun kesemuanya masih dalam peringkat rundingan ketika ini.
“Saya akan maklumkan penaja saya nanti...selain itu, saya juga masih dalam proses rundingan mendapatkan jurulatih baharu, kesemuanya peribadi dan sulit, apabila sudah sah, saya akan maklumkan,” katanya.
Sementara itu, Zii Jia mengakui berdepan cabaran selepas memilih untuk membawa haluan sendiri berbanding berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.
Pemain kelahiran Kedah itu bagaimanapun bersyukur apabila ahli keluarga terutama kakaknya, Lee Zii Yii, banyak membantu sejak bergelar pemain profesional baru-baru ini.
“Satu cabaran besar kerana semua kena atur sendiri namun saya sangat menghargai bantuan kakak serta keluarga. Sekarang hanya perlu fokus latihan dan hasilkan keputusan,” tambahnya.
Zii Jia yang masih belum mencapai tahap terbaiknya menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada 15 hingga 20 Februari ini memaklumkan, sedang menjalani latihan bersama dua lagi pemain profesional, Liew Daren dan Soong Joo Ven ketika ini.
Beliau juga memaklumkan lebih selesa mendapatkan rawatan luar ketika ini berbanding menggunakan perkhidmatan di Institut Sukan Negara (ISN) namun tidak menolak kemungkinan akan kembali menggunakan kemudahan di ISN pada masa depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!