TFC pertimbang guna khidmat pengarah teknikal tempatan
KUALA TERENGGANU - Meskipun berminat untuk mendapatkan tenaga pakar dari luar, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sedang mempertimbangkan untuk mengambil jurulatih tempatan sebagai pengarah teknikal pasukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat pengarah teknikal import, susulan peraturan dan syarat yang ditetapkan pihak imigresen ketika ini sangat ketat, sehingga menyukarkan proses berkenaan.
"Sebab itu kita masih tidak boleh buat pengumuman.. bukannya kami sengaja hendak berteka-teki," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Jawatan tersebut sebelum ini dipegang oleh bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.
Selain itu, Ab Rasid turut menzahirkan kegembiraan sekiranya desas-desus mengenai pemilihan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain sebagai pembantu ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon menjadi kenyataan.
Menurut beliau, seandainya Nafuzi dipilih, pihaknya sudah memiliki perancangan tersendiri bagi memastikan perjalanan skuad Penyu tidak terjejas dalam menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula awal bulan hadapan.
"Jika Nafuzi bersama skuad negara, itu adalah satu penghormatan kepada pasukan negeri kerana dia sudah tiga atau empat tahun bersama kita dan satu perkembangan yang baik bagi kariernya.
"Di pihak kami tidak ada masalah kerana dua jurulatih yang membimbing Terengganu FC ll, Badrul Afzan Razali dan Sabri Sulong, sedang menjalani kursus lesen kejurulatihan Pro Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di ibu negara," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!