PRN Johor: Pas, Bersatu masih runding agihan kerusi
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kini pihaknya masih menunggu jumlah kerusi yang akan dimaklumkan Jawatankuasa Induk PRN negeri Johor untuk sebarang keputusan lanjut.
Menurutnya, jentera parti sudah membuat persiapan sepatutnya dan pihaknya berharap pembahagian kerusi berkenaan akan berlangsung sebaiknya.
“Kita (PN) jangkakan akan bertanding semua kerusi, manakala bagi Pas dan Bersatu mungkin lebih 40 kerusi dan selebihnya parti komponen lain dalam PN,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan di Pasir Tumboh, di sini.
Mengulas lanjut mengenai PRN berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya juga bersetuju untuk mewujudkan hanya satu bilik gerakan operasi antara Pas dan Bersatu yang akan ditempatkan di satu lokasi bagi memudahkan segala urusan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!