Isu teknikal punca kelewatan penyaluran pembiayaan SPIM: Tekun
PUTRAJAYA - Kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) adalah disebabkan isu teknikal yang timbul ketika proses naik taraf sistem permohonan dalam talian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Adam Abdul Ghani berkata, pihaknya mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan dalam talian itu bagi menampung permohonan yang terlalu tinggi.
"Pihak Tekun telah mengambil langkah bagi mengatasi isu tersebut antaranya menyalurkan pembiayaan secara manual melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat Tekun cawangan di seluruh negara kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilakukan ekoran gangguan teknikal itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adam berkata sehingga kini, Tekun telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM105 juta kepada 12,774 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik dan penyaluran pembiayaan itu dijangka dapat diatasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada akhir bulan ini.
SPIM dengan peruntukan dana berjumlah RM200 juta merupakan pembiayaan untuk usahawan informal dan mikro sebagai suntikan modal pusingan untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
Melalui SPIM, usahawan ditawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj keuntungan dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun dan moratorium selama 12 bulan. Permohonan skim itu telah dibuka pada 1 hingga 15 Jan lepas.
Adam berkata,Tekun Nasional telah menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa singkat untuk pembiayaan SPIM itu dan dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun telah habis dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, sebanyak 23,767 permohonan telah diterima untuk SPIM dan setakat 8 Februari lalu, sebanyak 15,880 permohonan telah diluluskan dengan nilai RM130.3 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!