Tiada guna bergabung parti tanpa kesefahaman
KUANTAN - Kerjasama politik pelbagai parti sukar diramal sehingga boleh mengundang ketidakstabilan sistem politik dan tampuk pemerintahan negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kesannya sudah dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Menurutnya, gabungan parti di bawah Pakatan Harapan (PH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta disokong Parti Warisan (Warisan) yang membentuk kerajaan selepas menang pilihan raya itu hanya mampu bertahan selama 22 bulan.
"Ekoran krisis politik yang berlaku, menyebabkan terjadinya perubahan kerajaan pada peringkat Persekutuan dan sebahagian negeri.
"Seterusnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga diangggotai pelbagai parti politik pula mengambil alih pemerintahan negara namun ia juga hanya mampu bertahan selama 17 bulan sahaja," katanya dalam kenyataan yang dikongsi melalui Facebooknya pada Jumaat.
Mohd Sharkar berkata, begitu juga dengan kerjasama politik melalui Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas demi kepentingan Melayu dan Islam namun ia juga tidak mampu untuk mewujudkan kestabilan.
"Jika dilihat pengalaman lalu, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merupakan satu-satunya gabungan politik yang terbukti berupaya membawa kestabilan dan kemakmuran negara.
"Kemakmuran, kemajuan dan kehidupan rakyat yang aman damai bukti kejayaan BN mentadbir negara dengan baik selama lebih 60 tahun,"katanya.
Beliau berkata, pada PRU-14 lalu rakyat menghukum, BN dan UMNO khususnya menerima keputusan rakyat itu untuk memperbaiki segala kelemahan lantaran kelekaan dan kelalaian diri sendiri.
"Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, rakyat Johor perlu bijak membuat pilihan terbaik bagi mewujudkan kestabilan di negeri berkenaan.
"Sebelum ini, kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan caca marba apabila ia hanya memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian," katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor juga tertekan dalam keadaan politik yang tidak stabil.
"Begitu juga dengan kerajaan Keluarga Malaysia pada ketika ini yang mempunyai kombinasi pelbagai parti dilihat tidak begitu kondusif dan tidak stabil.
"Menjelang PRN Johor kali ini, kita juga dapat menyaksikan kerapuhan atau berpecahnya gabungan PH apabila membenarkan PKR menggunakan logo sendiri.
"Keputusan itu secara jelas menunjukkan perpecahan dalam PH terutama selepas gabungan itu kalah teruk pada PRN Melaka, 20 November tahun lalu,"katanya.
Mohd Sharkar berkata, PRN Johor formula terbaik bagi mendapatkan kestabilan politik dan rakyat Johor tentunya bijak menilai parti mana pilihan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!