BNM gesa ketidakpadanan bekalan, permintaan perumahan diatasi
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan keperluan untuk melihat isu perumahan termasuklah menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan yang meruncing dalam pasaran perumahan serta menambah baik ketelusan harga rumah.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pemilikan rumah tidak boleh diatasi dengan pembiayaan semata-mata kerana banyak rumah telah menjadi terlalu mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia.
"Kita juga perlu menangani perkara ini walaupun kita memulakan penyelesaian yang lebih inovatif termasuk menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan yang meruncing, meningkatkan ketelusan harga rumah serta memastikan pasaran sewa yang lebih banyak disediakan untuk mereka yang tidak bersedia atau tidak mahu memiliki rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan baharu dalam kemudahan pinjaman kerana bank pusat itu diminta oleh kerajaan untuk menyemak semula model pembiayaan rumah bagi memudahkan pemilikan rumah oleh kumpulan berpendapatan M40 dan B40.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta institusi kewangan memudahkan akses kewangan kepada kumpulan B40 dan M40 bagi membolehkan mereka membeli Projek Perumahan Rakyat dan rumah mampu milik.
Nor Shamsiah berkata, bank telah menyokong inisiatif pemilikan rumah dengan kelulusan pinjaman lebih RM60 bilion kepada pembeli rumah kali pertama pada 2021.
"Daripada jumlah ini, lebih 60 peratus pinjaman baharu (telah) diluluskan untuk hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah. Selain itu, terdapat juga banyak skim jaminan untuk menyokong pemilikan rumah, terutamanya untuk kumpulan berpendapatan rendah.
"Tetapi kami faham bahawa sejak pandemik, banyak perkara telah berubah termasuk realiti mengenai permintaan perumahan. Model pembiayaan juga mungkin perlu diselaraskan. Sebagai contoh, apabila kerja dari jauh menjadi kebiasaan, bakal pembeli mungkin terbuka untuk membeli hartanah di luar pusat bandar,” jelasnya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!