Australia cadang ubah terma status vaksinasi Covid-19

No Image Caption
A
A
A

CANBERRA - Badan penasihat vaksin Australia mencadangkan istilah 'divaksin sepenuhnya' terhadap Covid-19 ditukar kepada 'lengkap' (up to date) atau 'tidak lengkap' (overdue) lapor Xinhua.

Kerajaan Australia baru-baru ini menerima pakai nasihat Kumpulan Penasihat Teknikal Australia berkenaan Imunisasi (ATAGI) mengenai status vaksinasi Covid-19, dengan individu berumur 16 tahun ke atas yang telah menerima suntikan penggalak akan dilabel dengan status imunisasi 'lengkap'.

Di bawah peraturan baharu, individu layak yang masih gagal mendapatkan vaksin penggalak Covid-19 dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua akan dilabel 'tidak lengkap'.

Warga Australia berumur 16 tahun ke atas kini layak mendapat suntikan penggalak, tiga bulan selepas dos kedua mereka.

Kabinet pada Khamis juga menyokong kenyataan Jawatankuasa Utama Perlindungan Kesihatan Australia (AHPPC) mengenai vaksin penggalak diwajibkan di kemudahan penjagaan warga emas.

Pada Jumaat, Australia melaporkan lebih 20,000 kes baharu akibat jangkitan Covid-19 dan 46 kematian termasuk 19 di New South Wales, 13 di Victoria dan 14 di Queensland.

Sebanyak 3,414 kes dirawat di hospital Australia termasuk 267 di unit rawatan rapi dalam tempoh 24 jam lepas, menurut Jabatan Kesihatan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!