Dua bot nelayan tanpa lesen ditahan
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan di sini.
Kedua-dua bot ditahan di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika tenggara Pulau Jerejak kira-kira jam 5.40 petang Khamis.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, ketika rondaan rutin dalam Op Pertiwi, bot ronda Maritim Pulau Pinang mengesan dua bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan menuju ke sangkar ikan di Pulau Jerejak.
Menurutnya, pemeriksaan bot pertama mendapati ia dikendalikan empat kru warga Myanmar termasuk tekong berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.
"Pemeriksaan pada bot kedua pula tiada nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh tiga warga Nepal termasuk tekong berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun.
"Kedua-dua bot disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, lesen bot tamat tempoh, tiada permit menggajikan warga asing serta tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, kedua-dua bot serta kesemua kru dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.
"Kesemua mereka turut menjalani saringan Covid-19.
"Kedua-dua kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana lesen bot tamat tempoh, bot tiada lesen yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan warga asing tanpa permit serta tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah," katanya.
Tambahnya, semua pihak terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya lagi, Maritim Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!