Rusia-Ukraine gagal capai kata putus

Dmitry Kozak, Andriy Yermak
Dmitry Kozak, Andriy Yermak
A
A
A

BERLIN - Rusia dan Ukraine gagal mencapai sebarang kesepakatan ketika rundingan pusingan kedua di bawah usaha kolektif dikenali sebagai Kumpulan Normandy di Berlin pada Khamis.

Wakil Moscow, Dmitry Kozak berkata, sesi dialog tersebut tidak berhasil untuk merungkai perbezaan antara kedua belah pihak berhubung kandungan perjanjian yang bertujuan menghentikan pertempuran antara pasukan keselamatan Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah timur Kiev.

Perkembangan rundingan itu yang menemui jalan buntu juga disahkan wakil Ukraine, Andriy Yermak.

"Kami berharap dapat bertemu semula tidak lama lagi dan menyambung semula rundingan tersebut. Semua pihak berazam untuk mencapai keputusan yang positif," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mendakwa Ukraine cuba untuk menulis semula perjanjian tersebut yang kandungan asalnya terkandung 13 perkara dan ditandatangani pada Februari 2015 di Minsk serta turut disokong Perancis dan Jerman.

Kiev bagaimanapun menegaskan ia komited dengan perjanjian tersebut dan turut menolak dakwaan Moscow kononnya ia tiada kaitan dengan konflik di wilayah timur Kiev.

Difahamkan, Kiev juga enggan berunding dengan ketua kumpulan pemisah di wilayah Donetsk dan Luhansk, namun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah mencadangkan rundingan secara terus bersama rakan sejawatannya di Rusia, Vladimir Putin yang berterusan ditolak Kremlin sehingga kini.

Sebelum ini, pemerhati daripada Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) telah merekodkan pelanggaran gencatan senjata secara berulang setelah hampir 15,000 dilaporkan terkorban sejak konflik itu tercetus pada 2014.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir bulan lalu, Rusia dan Ukraine sebulat suara untuk terus komited dengan pelaksanaan gencatan senjata tanpa syarat di wilayah timur Kiev ketika rundingan pusingan pertama di Paris bersama wakil Perancis dan Jerman. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!