PN pastikan semua 56 calon PRN Johor bersih

Hamzah
Hamzah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perikatan Nasional (PN) akan memastikan semua 56 calon mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN tersebut.

"Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN.

"Lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin, mungkin minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Chong Fat Full yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Datuk Abdull Bakar Ali.

Berkenaan pembahagian kerusi PN, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, proses itu masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.

Berkenaan dakwaan Pas tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu sekadar khabar angin dan kebenarannya hanya diketahui pihak yang menyebarkan cerita tersebut.

Artikel Berkaitan: