Peniaga bakeri tertekan krisis telur jejas jualan
ALOR SETAR - Peniaga bakeri di daerah ini tertekan dengan masalah bekalan telur ayam yang semakin sukar diperoleh sejak kebelakangan ini.
Pengusaha Kek Kirana, Mohd Fikrie Razali, 37, berkata, dia dan isteri, Umil Izzah Nor Hilal, 34, memerlukan 10 papan telur ayam untuk menyiapkan pesanan pelanggan setiap hari.
Menurutnya, krisis bekalan telur ayam yang berlaku ketika ini menyebabkan mereka perlu memohon bantuan rakan-rakan untuk mengetahui kedai mana yang mempunyai bekalan.
"Kadang-kadang ada kedai yang hadkan pembelian telur, ada yang boleh beli sepapan sahaja, ada yang boleh beli dua papan," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Mohd Fikrie berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan pada Jumaat, dia hanya berjaya mendapatkan enam papan telur ayam.
"Ejen akan beri senarai pesanan pelanggan lebih awal kepada saya supaya saya dapat memastikan bekalan telur mencukupi, kalau tak cukup terpaksa keluar cari telur lagi.
"Kami banyak buang masa untuk cari telur ayam sahaja. Kadang-kadang dapat maklumat stok sampai saja kena cepat-cepat beli," katanya yang mengusahakan perniagaan kek sejak enam tahun lalu.
Zaiza Idrus Salam, 32, pula berkata, pengusaha kek ketika ini mengalami tekanan bertimpa-timpa kurang dari tempoh setahun.
"Sebelum ini bahan kek termasuk keju naik harga, sekarang ini masalah telur ayam pula.
"Saya menggunakan telur saiz A atau B dalam pembuatan kek. Telur gred A boleh beli 10 biji sahaja di kedai runcit berdekatan rumah.
"Kalau yang gred B ada dijual di pasar raya, tapi kena berebut la juga. Ahli keluarga di rumah pun kena 'rehat' sekejap dari makan telur, sebab terpaksa utamakan permintaan pelanggan," katanya.
Menurutnya, krisis telur ayam itu diharap segera reda memandangkan ramai pengusaha kek bergantung kepada bahan itu untuk jualan mereka.
"Tetapi jangan la pula harga telur ayam pun naik, kami sudah cukup tertekan dengan kos bahan mentah sekarang ini. Nak naikkan harga kek tinggi sangat pun tak sampai hati, kasihan juga kepada pelanggan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!