Status pendahulu bukan jaminan Manchester City juara
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan status kelebihan mata mengatasi Liverpool masih belum cukup untuk menjamin penyandang juara itu mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sebaliknya Guardiola menegaskan The Citizens memerlukan 95 atau 96 mata untuk merangkul trofi liga kedua berturut-turut.
"Kami perlu berjuang untuk memenangi kejuaraan liga dan jika mahu menang, kami perlu memenangi dengan jumlah mata luar biasa disebabkan menentang lawan luar biasa sejak beberapa musim ini.
"Sebenarnya, margin menentang Liverpool bukan apa-apa. Kami perlu menang banyak perlawanan lebih daripada 90 mata. Kutipan 95, 96 mata untuk menjadi juara adalah terbaik," ujar Guardiola.
Untuk rekod, Manchester City berada sembilan mata di hadapan Liverpool selepas 24 perlawanan, namun The Reds boleh mengurangkan jurang itu kepada enam sekiranya memenangi perlawanan dalam tangan.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini secara terbuka menegaskan peluang untuk The Reds mengejar The Citizens dalam pemburuan kejuaraan liga semakin jauh.
Sementara itu, menjelang kunjungan ke Carrow Road bagi aksi liga menentang kelab yang bergelut di zon penyingkiran Norwich City, Guardiola berkata: "Dean Smith merupakan pengurus baharu, perlawanan baharu. Kami tewas dua musim lalu di sana, sudah tentu Norwich mempunyai momentum. Ia sangat baik... kami menentang mereka pada saat terbaik mereka musim ini.
"Dean Smith konsisten membawa aura kebangkitan selepas menggantikan Daniel Farke awal musim ini," ujar Guardiola yang bakal berdepan Norwich City yang mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan terakhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!