Kerja pembaikan rumah terjejas ribut ambil masa seminggu: MBI

Kejadian ribut yang berlaku di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan pada 30 Januari lalu. - Foto ihsan pembaca
Kejadian ribut yang berlaku di Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan pada 30 Januari lalu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat ribut dan puting beliung yang berlaku bulan lepas di beberapa kawasan di sekitar Ipoh di sini akan mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, syarikat pemaju perumahan, Kinta Properties Sdn Bhd telah tampil menyalurkan peruntukan penambahbaikan sebanyak RM40,000 untuk membaik pulih 44 buah rumah yang rosak di Taman Tasek Damai di daerah Kinta di sini.

"Peruntukan ini digunakan untuk kerja-kerja membaiki kerosakan bumbung rumah penduduk yang tercabut diterbangkan angin disebabkan puting beliung yang berlaku baru-baru ini.

"Bagaimanapun, pihak Kinta Properties bersedia untuk menambah lagi peruntukan sekiranya ada keperluan tambahan,” katanya kepada pemberita pada Program Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin di Taman Tasek Damai, yang turut dihadiri Pengarah Kinta Properties Sdn Bhd Edwin Tan Beow Aik, di sini pada Sabtu.

Rumaizi berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan syarikat pemaju perumahan itu, diharap dapat menjadi contoh kepada syarikat swasta yang lain untuk bekerjasama dengan MBI, demi kesejahteraan penduduk bandar raya itu terutamanya mereka yang terjejas dengan sebarang kejadian bencana.

Sementara itu, seorang penduduk yang terjejas, meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa mereka.

Hamzah Majid, 54, yang tinggal di situ sejak lebih 20 tahun berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila bumbung dan sebahagian perabot rumahnya musnah, akibat kejadian tersebut.

"Alhamdulillah, apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan termasuk kerajaan negeri memang lega sangat, Kalau tidak mana saya hendak mencari duit untuk memperbaiki apa yang sudah rosak,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Pada 30 Jan lalu, 219 rumah di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini, mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan puting beliung namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!