[VIDEO] Jerai Geopark diyakini terima pengiktirafan global 2025
SUNGAI PETANI - Jerai Geopark yang mempunyai geotapak bertaraf tinggi dari segi saintifik, budaya dan rekreasi diyakini menerima pengiktirafan di peringkat global pada 2025.
Pengurus Jerai Geopark merangkap Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Mohd Amin Ali berkata, ini kerana pelbagai usaha sedang dilakukan bagi memenuhi matlamat itu dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menurutnya, setakat ini, Langkawi merupakan satu-satunya geopark yang berjaya diiktiraf di peringkat global di Malaysia manakala Gunung Kinabalu, Sabah sedang diusahakan dan diyakini bakal diiktiraf dalam masa terdekat.
"Disebabkan Jerai Geopark meliputi kawasan MPSPK dan Majlis Daerah Yan (MDY), jadi kami berhasrat untuk menjadi yang ketiga dan telah diberi tanggungjawab untuk memartabatkan geopark ini ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Eksplorasi Berkayak Sungai Merbok@Jerai Geopark 2022 di Kompleks Pelancongan Jeti Sungai Merbok, Semeling di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dan Setiausaha MPSPK, Noorulhuda Mohammed Ali.
Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan sebagai memenuhi dan mencapai sasaran termasuk menerima sokongan penuh kerajaan negeri dengan penubuhan unit tetap Pengurusan Jerai Geopark yang dilengkapi pasukan penyelidik dalam mengenal pasti selain memenuhi kriteria Outstanding Universal Value (OUV) di peringkat dunia yang ada di kawasan ini untuk diangkat.
"Jadi kita percaya dan yakin dengan sasaran tersebut kita akan merealisasikannya menjelang 2025," katanya.
Menurutnya, antara lima kriteria yang berupaya diangkat sebagai tarikan pelancongan di Jerai Geopark termasuk mempunyai sumber mineral batuan berusia 500 juta tahun, kewujudan lebih 42 spesis bakau dari 60 spesis bakau dunia di Sungai Merbok dan Tapak Ketamadunan Sungai Batu.
Selain itu, keunikan budaya masyarakat setempat dan kejadian bencana seperti kepala air serta tsunami yang turut melanda berpotensi untuk diangkat sebagai tarikan geobencana.
Dalam program itu, seramai 40 peserta terdiri daripada 13 wanita dan 27 lelaki dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Selangor, menjayakan program Eksplorasi Berkayak Sungai Merbok@Jerai Geopark 2022.
Menerusi program tersebut, peserta dijangka tiba pada sebelah petang di Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda dengan menyusuri Sungai Merbok sepanjang kira-kira 19 kilometer.
Sebelum ini, Jerai Geopark telah diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada 18 Julai 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!