Pengguna dakwa masih sukar temui telur ayam
IPOH - Pengguna sekitar Ipoh masih berdepan kesukaran mendapatkan telur ayam walaupun kerajaan negeri memaklumkan bekalan di negeri itu mencukupi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati peniaga dan pengguna mengakui sukar membeli barang asas itu sejak beberapa minggu lalu.
Peniaga, Abd Ghani Yusoff, 60, berkata, sebanyak 60 biji telur digunakan sehari untuk jualan nasi lemak dan pelbagai juadah sarapan lain.
Abd Ghani yang tinggal di Taman Cempaka terpaksa meninjau di kedai sekitar Gunung Rapat dan Simpang Pulai iaitu sejauh kira-kira 10 kilometer untuk membeli telur.
"Selepas berniaga saya akan ke sana untuk mendapatkan telur sebagai persediaan keesokan hari. Kalau berjaya beli dalam kuantiti yang sedikit pun masih boleh berniaga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Sharifah Mohamad, 43, pula mendakwa terpaksa membeli telur gred C sahaja dalam kuantiti yang sedikit untuk jualan nasi lemak.
"Ada sesetengah kedai mencatut dengan membenarkan pengguna membeli 10 biji sahaja kerana stok bekalan tidak banyak.
"Jadi kami perlu membeli berulang kali untuk mencukupkan jualan. Saya baharu seminggu berniaga untuk menampung perbelanjaan harian keluarga," katanya.
Penduduk, Suraya Abd Razak, 41, berkata, telur menjadi lauk kegemaran dua anaknya berusia 21 dan 15 tahun dan keluarganya memerlukan dua papan untuk kegunaan sebulan.
"Memang susah hendak dapat telur sejak bulan Januari tambah anak-anak membesar sudah tentu mereka kuat makan.
"Setiap kali pergi pasar raya, rak telur kosong. Sudahlah stok tidak banyak, mujur harga tidak naik sebab di kawal kerajaan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tiada aduan rasmi diterima oleh pihaknya berkaitan isu telur ayam.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan sekiranya pengguna dapat menyalurkan maklumat berkaitan bekalan telur ayam di kawasan terlibat.
"Saya mohon pengguna disalurkan maklumat di kawasan terlibat secara spesifik supaya tindakan boleh diambil di kawasan berkenaan.
"Pada masa sama, pegawai penguat kuasa dan pemantau harga menjalankan pemeriksaan secara harian di premis yang menjual barang keperluan seperti ayam dan telur bagi memastikan bekalan ada," katanya.
Beliau turut meminta pengguna tidak membuat sebarang pembelian panik kerana bekalan kedua-dua bahan mentah mencukupi.
"Pengguna juga diminta membuat aduan secara rasmi kepada KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Pemborong dan peniaga juga diminta menambah bekalan telur di premis masing-masing dengan segera supaya berada dalam keadaan stabil," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bekalan telur ayam di Perak masih mencukupi dengan kadar pengeluaran sebanyak 148.4 juta biji sebulan.
Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, sebanyak 23 ladang ayam penelur beroperasi di seluruh negeri dengan kadar pengeluaran melebihi 200 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!