MPS sita tiga lori buang sampah haram
GOMBAK - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita tiga lori yang dikesan membuang sampah haram di Batu 8 1/2 Jalan Gombak di sini.
Menerusi kemas kini di Facebook MPS, tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi membanteras operasi pembuangan sampah haram yang dilaksanakan pada Jumaat.
Menurut perkongsian itu, MPS turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik lori berkenaan di bawah Seksyen 4 (Kompaun) Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah MPS (2007).
"Kesemua lori yang disita dibawa ke Bengkel MPS di Rawang," menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, MPS akan terus menjalankan pemantauan rapi bagi menangani isu pembuangan sampah haram tersebut.
"Pemantauan akan dilaksanakan setiap masa terutama di kawasan 'hotspot' pembuangan sampah haram.
" Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang didapati menjalankan aktiviti ini, " ujar kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!