DPIM, Quantum Metal perkenal pelaburan emas patuh syariah

Mohammad Sahar (tiga,kiri) dan Lim (dua,kanan) bertukar dokumen MoU dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mohammad Sahar (tiga,kiri) dan Lim (dua,kanan) bertukar dokumen MoU dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah menjalinkan kerjasama perniagaan bersama syarikat Quantum Metal Sdn Bhd bagi inisiatif produk jual beli dan penyelesaian pemulihan ekonomi melalui emas secara digital dan patuh syariah.

Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, pengenalan inisiatif tersebut sebagai satu usaha untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi umat Islam.

Menurutnya, pelaburan emas yang diperkenalkan oleh DPIM dan Quantum Metal secara patuh syariah dan digital itu juga adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

"Produk emas yang kami perkenalkan ini adalah patuh syariah dengan menggunakan instrumen Komoditi Murabahah berbanding produk lain di luar sana yang tidak patuh syariah.

"Dengan produk simpanan dan jual beli emas ini akan dapat memberi pilihan kepada individu, pemilik syarikat dan masyarakat secara amnya untuk meningkatkan tahap ekonomi di samping menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.

"Harga emas juga dilihat akan terus meningkat untuk tahun akan datang dan bakal memberikan pulangan yang baik kepada masyarakat," katanya dalam sidang media selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat Quantum Metal Sdn Bhd pada Sabtu.

Mohammad Sahar menjelaskan DPIM dan Quantum Metal menawarkan tiga produk dengan caj yang rendah untuk membolehkan masyarakat membeli emas dengan harga yang lebih murah.

Beliau berkata, apabila harga emas dapat dibeli dengan harga yang lebih rendah, ia akan memberikan pulangan yang lebih cepat kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"DPIM amat yakin platform simpanan dan penyelesaian pemulihan ekonomi melalui emas secara digital ini akan dapat menjadi salah satu kaedah terbaik dalam membantu semua golongan khususnya untuk memelihara harta simpanan dalam bentuk emas dan juga sebagai ruang terbaik untuk mengembangkan lagi aset.

"Dalam memastikan produk ini dapat diperkenalkan dengan meluas, DPIM sedang giat mengadakan pelbagai aktiviti dan sesi perkongsian seperti taklimat, sesi latihan dan pengiklanan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Pengasas Quantum Metal, Datuk Lim Khong Soon berkata, kerjasama dengan DPIM itu akan memberikan ruang lebih ramai masyarakat mendapatkan emas dan mendapatkan pulangan daripada pelaburan emas tersebut.

"Kerjasama ini juga membuka lebih ruang bukan sahaja kepada masyarakat di negara ini dengan menyasar meluaskan produk ini di peringkat antarabangsa. Kami juga menyasarkan produk ini akan berada di 60 negara pada masa akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!