UTHM, KMDI teroka sumber mineral, air
KUMPULAN Maju Desa Industri (KMDI) Holding Sdn Bhd menjalin usahasama bersama Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) bagi meneroka sumber mineral dan air di negara ini.
Pengerusi Kumpulan KMDI, Datuk Seri Zailan Abd Ghapar berkata, melalui kerjasama itu, kepakaran dan teknologi dimiliki UTHM akan digunakan untuk meneroka sumber mineral dan potensi kawasan yang diluluskan kepada syarikat itu untuk tujuan perlombongan.
Menurutnya, penerokaan sumber mineral itu diberi tumpuan kepada tiga negeri di pantai timur termasuk di Pahang melibatkan mineral seperti emas, bijih besi, silica, koalin dan pelbagai mineral lain.
“UTHM melalui Institut Kejuruteraan Intergrasi yang diketuai Prof Madya Dr Mohd Zainizan Sahdan akan bertanggungjawab menggunakan kepakaran dan teknologi canggih untuk meneroka kedudukan kandungan mineral melibatkan kawasan yang diluluskan.
“Dr Mohd Zainizan bersama pasukannya akan mengenal pasti kedudukan mineral itu secara lebih tepat selain menilai sama ada kapasitinya mencukupi dan ada nilai ekonomi untuk dilombong atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama itu di Pejabat KMDI Holding Sdn Bhd di sini pada Jumaat.
Turut hadir Pengarah Urusan KMDI Holding, Datuk Azjuriyahti Azlan.
Zailan berkata, kaedah penerokaan menggunakan teknologi canggih dimiliki UTHM dapat mengurangkan kos operasi selain membantu mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Tambah beliau, usahasama kepakaran itu akan dimulakan melibatkan kawasan seluas 500 ekar di Lipis bagi tujuan perlombongan emas.
Sementara itu katanya, KMDI turut bekerjasama dengan UTHM bagi meneroka sumber air baharu (air bawah tanah) di negara ini bagi kawasan yang menghadapi masalah bekalan air dan keperluan air luar bandar.
“Buat permulaan, projek ini dilaksanakan di tiga kawasan iaitu di Felcra Kuala Medang, Pahang, Sewri Bandi, Terengganu dan Air Degong, Kelantan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!