Pengasuh ditahan disyaki cedera bayi 10 bulan
BENTONG - Polis Bentong menahan seorang wanita yang juga pengasuh kepada bayi perempuan berusia 10 bulan pada Khamis kerana disyaki mencederakan bayi terbabit di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita berusia 26 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di bandar Bentong kira-kira jam 12.30 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek telah menarik telinga mangsa dan menyebabkan kecederaan ringan di telinga kiri bayi terbabit pada 8 Februari lalu.
"Mangsa dirujuk ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan susulan.
"Pusat jagaan itu juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Februari dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memastikan menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang memiliki kelulusan," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!