PRU15: PBRS minta BN pertimbang beri beberapa kerusi
KOTA KINABALU - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berharap Barisan Nasional (BN) pertimbang untuk memberi beberapa kerusi Parlimen kepada parti itu untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup berkata, walaupun tarikh PRU belum ditentukan, namun yakin ia akan diadakan pada tahun ini.
"Sehubungan itu, tertakluk dengan perbincangan, kami minta diberi peluang untuk bertanding dalam beberapa kawasan yang kami rasa memberi saingan hebat kepada pihak lawan. Bererti ada peluang untuk menang.
"Tertakluk kepada perbincangan nanti, kami merayu apa yang adil dalam pembahagian kerusi nanti. Kami akan bekerja keras demi memantapkan bahagian yang kami sudah kenal pasti untuk PBRS berpeluang menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Annual kali ke-3 PBRS di Dewan Hakka, Likas di sini pada Sabtu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Naib Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Menurut Joseph, walaupun PBRS sebelum ini sudah diberi peluang bertanding di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan kalah teruk, namun beliau yakin senario politik di Sabah ketika ini sudah berubah.
"Kami tidak putus asa. Itu lumrahnya bahawa dalam pertandingan politik dalam sesuatu pilihan raya memang ada kalah, ada menang.
"Senario politik di Sabah nampaknya sudah berubah. Sentimen pro Barisan Nasional (BN) sedang kembali seperti dahulu. Oleh itu, PBRS bersama rakan komponen BN akan berusaha lebih giat lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!