Penulis, pelakon Jit Murad meninggal dunia

Jit Murad
Jit Murad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penulis, pelakon teater dan filem terkenal, Jit Murad dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu pada usia 62 tahun.

Berita pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan disahkan oleh beberapa teman rapat Allahyarham.

Setakat ini, punca sebenar kematian Allahyarham masih belum dikenal pasti.

Allahyarham yang merupakan anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor mula bergiat aktif dalam filem, televisyen dan teater pada 1987.

Beliau juga merupakan abang kepada penerbit filem, Na’a Murad.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang Sosiologi (Pengajian Bandar) dan Ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah.

Sepanjang kariernya, Allahyarham disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik.

Beliau turut dikenali sebagai seorang penulis yang prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah termasuk di Anugerah Boh Cameronian.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dari industri kreatif Malaysia termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.

Beliau pernah membintangi filem, "Selubung", "Mimpi Moon", "Talentime" dan 1957: Hati Malaya.

Sementara itu, aktres kacukan Cina-Inggeris, Susan Lankester menyifatkan Allahyarham sebagai anak seni yang berbakat besar, menawan dan bijak.

Susan turut memuat naik gambar dengan kapsyen 'off you go Jit' di laman Instagramnya hari ini.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kemas kini dilaman Twitter turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.

Setakat ini, Astro AWANI masih mendapatkan perkembangan terkini berhubung pemergian Allahyarham.

Difahamkan jenazah Allahyarham kini berada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan akan dikebumikan esok (Ahad).- Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!