LHM: TNB tekad akhiri kemarau kejuaraan utama

Kapten THT, Faizal Saari (dua dari kiri) dan Kapten TNB, Syed Syafiq Cholan (dua dari kanan) memegang Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu. Turut hadir Nor Saiful Zaini (kanan) dan Roslan. - Foto Bernama
Kapten THT, Faizal Saari (dua dari kiri) dan Kapten TNB, Syed Syafiq Cholan (dua dari kanan) memegang Piala Sumbangsih pada sidang media di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu. Turut hadir Nor Saiful Zaini (kanan) dan Roslan. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) memasang impian mahu menamatkan penantian lebih sedekad untuk menjulang kejuaraan utama saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) kali ini, selepas kali terakhir muncul juara liga pada 2003 dan merangkul Piala TNB 2010.

TNB yang bakal membuka kempen kali ini menentang juara bertahan Piala TNB, Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi Piala Sumbangsih, Sabtu depan (18 Februari), berhasrat meraih sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini berbekalkan kedudukan itu pasukan yang seimbang dengan dibarisi pemain kebangsaan dan muda.

Ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini berkata, walaupun TNB antara pasukan terbaik LHM sejak kebelakangan ini, TNB yang 100 peratus menggunakan khidmat pemain tempatan sering terpaksa berputih mata menentang pasukan yang diperkuatkan pemain import dan tonggak utama pasukan kebangsaan.

Ketiadaan pemain import dan juara liga tiga tahun berturut-turut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada musim ini, mahu digunakan dengan sebaiknya oleh Nor Saiful untuk mencatur strategi meraih kejayaan pada musim ini.

"Banyak kali kita sangkut di separuh akhir (Piala TNB), mungkin kerana pasukan lawan mempunyai flicker dan pasukan lebih seimbang. Atas kertas, memang kali ini THT mempunyai kelebihan dengan adanya pemain negara dan seimbang di setiap bahagian, manakala Maybank turut dilihat sebagai pencabar utama.

”Namun saya berjanji kita akan beri saingan sengit untuk meraih satu atau dua piala kali ini.

"Saya sering ingatkan para pemain untuk kurangkan kesilapan, berdisiplin dan paling penting kena score kalau nak menang, kerana tahun lepas kita terlepas banyak peluang,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional pada Sabtu.

Nor Saiful yang mempunyai 10 pemain kebangsaan di bawah kendaliannya seperti kapten Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dan Faiz Helmi Jali pada saingan kali ini berkata, persediaan TNB sudah hampir 70 peratus selesai dan pihaknya sangat berhati-hati untuk mengelak sebarang kecederaan dan jangkitan wabak Covid-19 terhadap pemain.

Artikel Berkaitan:

TNB adalah antara kelab paling berjaya dalam LHM, apabila pernah muncul juara liga sebanyak lima kali pada 1990, 1991-92 (dikenali sebagai Kelab Kilat), 2000-2001, 2002 dan 2003, serta juara Piala TNB tujuh kali (1987, 1989, 1991-1992, 2003, 2004, 2007 dan 2009-2010), selain menjuarai Piala Tan Sri P Alagendra 2019.

Sementara itu, bekas jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan, Roslan Jamaluddin yang bakal mengharungi cabaran sebagai ketua jurulatih baharu THT, menjangkakan saingan sengit pada LHM kali ini.

"Di THT, saya melihat mereka mempunyai pasukan dengan gaya permainan tersendiri dan kekuatan sendiri, namun bagi saya LHM kali ini lebih seimbang.

"TNB kekalkan kebanyakan pemainnya, Maybank pula mempunyai beberapa pemain dari UniKL, jadi saingan kali ini pasti sengit,” kata bekas penjaga gol kebangsaan itu.

Terdahulu pada sidang media berasingan, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan barisan kejurulatihan Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita yang akan beraksi di LHM kali ini.

Bagi lelaki, Datuk Mirnawan Nawawi dilantik sebagai pengurus pasukan, manakala Megat Azrafiq sebagai ketua jurulatih, yang akan dibantu Mohd Sufian Mohamad, Baljit Singh Charun Singh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Pasukan wanita pula akan dikendalikan A Kannagi dengan dibantu Mohamad Sabri Mohamad selaku penolong jurulatih, manakala Siti Rahmah Othman menggalas tanggungjawab selaku pengurus pasukan dan dibantu Wan Mohd Azli Wan Ismail.

"Penubuhan pasukan ini sudah lama kami fikirkan terutama bagi pasukan lelaki kerana kami sedang mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur. Ini menjadi landasan untuk pemain di peringkat akar umbi mendapat peluang untuk beraksi di kejohanan kompetitif.

"Pasukan ini akan mempunyai kesinambungan pada tahun hadapan dan berkait rapat dengan Skuad Remaja Negara serta Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).

"Bagi saingan LHM juga, kami mempunyai perancangan besar tahun depan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!