Wanita UMNO siap sedia tempur perang siber PRN Johor

Norshida
Norshida
A
A
A

SHAH ALAM - Jentera Cyber Rangers Wanita UMNO tekad gempur secara 100 peratus perang siber dan media sosial bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mendepani musuh siber pada PRN Johor menerusi pasukan Cyber Rangers Wanita di semua peringkat bahagian dan negeri Johor secara sepenuhnya.

Katanya, seperti gerakan sebelum ini yamg dilaksanakan pada PRN Melaka, sayap Wanita UMNO itu akan memastikan penyelarasan dan koordinasi dilaksanakan di setiap peringkat dengan penuh rapi dan teliti bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku demi memastikan kemenangan majoriti kepada Barisan Nasional (BN).

"Tiada kompromi dalam segala gerakan jentera, malah perlu berhati-hati serta berwaspada mengawal gerak-geri jentera parti lawan yang senantiasa menabur fitnah kepada BN bagi mengaburi mata rakyat.

"Sudah pasti Wanita akan memastikan segala informasi dan penerangan akan sampai ke seluruh pengundi pelbagai peringat umur sehingga ke hari akhir pengundi membuang undi pda 12 Mac nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Norshida lagi, jentera Wanita UMNO juga akan diperkemaskan dengan pemerkasaan daripada jentera sayap parti itu di peringkat negeri yang datang membantu di Johor.

Mengulas lanjut katanya, jentera Wanita juga perlu memahami segala isu-isu semasa setempat dan sentiasa menjaga sensitiviti pengundi sewaktu melakukan aktiviti ziarah kerana setiap undi daripada pengundi adalah bernilai bagi BN demi memastikan kemenangan mutlak di PRN Johor kali ini.

Menurutnya, semua jentera diseru untuk menggunakan peluang berceramah di bilik gerakan dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat dalam masa sama, kesemua pihak diingatkan mematuhi prosedur operasi standard dan memastikan penyertaan pengundi dihadkan demi menjaga keselamatan semua.

Artikel Berkaitan:

"Percayalah usaha kita ini diyakini rakyat kerana mereka yakin kestabilan BN akan membawa kemakmuran kepada negeri Johor," katanya.

"Percayalah bahawa rakyat akan bersama kita dan kita perlu buktikan bahawa kita adalah yang lebih baik demi negeri Johor ini. Insya-ALLAH, BN akan mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!