Treler bertembung bas kilang, dua parah, 15 lagi cedera
PERAI - Dua parah selepas sebuah treler bertembung dengan sebuah bas kilang dalam kejadian berdekatan sebuah kilang di Jalan Perusahaan Perai, di sini pada petang Sabtu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, PBK II Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 malam itu turut melibatkan 15 penumpang bas yang merupakan pekerja kilang.
Menurutnya, kesemua penumpang tersebut yang merupakan lelaki bukan warganegara Malaysia hanya cedera ringan.
"Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.21 malam dan terus bergegas ke lokasi kejadian. Di situ kita mendapati, kemalangan melibatkan sebuah bas kilang yang membawa pekerja telah bertembung dengan sebuah treler.
"Kemalangan tersebut menyebabkan bas kilang terbalik. Pemeriksaan mendapati, pemandu treler dan pemandu bas tersepit di bahagian tempat duduk. Kedua-duanya dalam keadaan cedera parah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, kedua-dua pemandu itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh tujuh minit dengan menggunakan peralatan.
"Kedua-dua mangsa yang tersepit telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya. Identiti mereka belum diketahui.
"Sementara itu, semua 15 penumpang bas iaitu pekerja kilang yang cedera ringan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!