Hidup susah tapi tidak mohon bantuan zakat
KUALA LUMPUR - "Kalau saya tahu, dari dulu lagi saya mohon bantuan zakat," kata seorang tukang kayu dipanggil Rahul ketika disantuni kakitangan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Kisah Rahul tiada pendapatan tetap dan menyara isteri sakit strok serta dua anak masih bersekolah dikongsikan di Facebook Baitulmal MAIWP pada Jumaat.
Menerusi kemas kini itu, Rahul merasakan dirinya tidak layak menerima dan memohon bantuan zakat walaupun hidup dalam kesusahan.
"Rahul juga memberitahu mendapat maklumat daripada pihak luar yang mengatakan perlu membawa isteri bersama ke kaunter zakat untuk menguruskan permohonan bantuan.
"Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP menafikan informasi yang diterima Rahul itu adalah tidak tepat," menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurut perkongsian itu, kesan pandemik Covid-19 turut menyukarkan lelaki itu menampung keluarga.
"Rahul hanya mampu menyewa sebuah rumah kecil yang dilihat seperti pondok berkeluasan 20 kaki panjang lebar untuk keluarganya berteduh.
"Isteri Rahul mengalami strok sejak dua tahun lalu menyebabkan masa untuk keluar mencari rezeki terganggu kerana perlu membantu isterinya menguruskan diri," tambah kenyataan itu.
Ujar kenyataan itu, keluarga tersebut akan dibantu menerusi beberapa syor skim bantuan daripada MAIWP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!