'Bimbang ribut melanda setiap kali angin, hujan'
IPOH - Kejadian ribut yang memusnahkan lebih 300 rumah di sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini, masih lagi menghantui penduduk setiap kali tibanya waktu hujan.
Kerja-kerja membaiki struktur bumbung rumah masih dilaksanakan selepas hampir dua minggu insiden itu berlaku sejak 30 Januari lalu.
Penduduk, Hamzah Majid, 54, berkata, menyaksikan sendiri angin kencang yang memusnahkan bumbung rumahnya itu menyebabkan dia berasa trauma setiap kali hari mendung atau hujan.
"Kerisauan itu tetap ada sebab ribut lalu berlaku depan mata setelah 22 tahun menetap di sini. Setiap kali angin serta hujan saya akan lihat keadaan sekeliling dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
"Selain kerosakan bumbung rumah, cermin kereta turut pecah. Bantuan ihsan RM300 daripada kerajaan negeri saya guna untuk baiki kereta saya," katanya.
Dia ditemui pemberita pada tinjauan kerja-kerja pembaikan rumah penduduk oleh Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah Kinta Properties Sdn Bhd, Edwin Tan Beow Aik di Taman Tasek Damai di sini pada Sabtu.
Pekerja kilang, Kamarul Hisham Ahmad Salaluddin, 35, berkata, lebih RM3,000 dibelanjakan untuk membeli pelbagai barangan bagi membaiki kerosakan rumahnya itu.
"Wang simpanan digunakan untuk membaiki bumbung rumah dan saya mengambil cuti selama dua minggu untuk baiki sedikit kerosakan rumah.
"Dalam tempoh ini agak seksa juga apabila terpaksa menadah hujan dengan besen dan baldi kerana struktur bumbung belum dibaiki lagi. Kadar upah yang dikenakan lebih RM1,000," katanya.
Sementara itu, Rumaizi berkata, sebanyak 44 buah rumah penduduk yang rosak dalam kejadian itu dibaiki Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kinta Properties.
Menurutnya, kerja-kerja di Jalan Tawas Baru 2 dan Jalan Tawas 12 itu melibatkan kos sebanyak RM40,000 meliputi penggantian atap dan zink yang rosak.
"Kerja-kerja pembaikan yang telah dijalankan ini dijangka siap pada Sabtu depan dengan bantuan pekerja-pekerja dari Kinta Properties.
"Bahagian atap perlu dibaiki segera kerana setiap kali hujan, kelengkapan rumah akan bertambah rosak," katanya.
Kata Rumaizi, pihaknya akan membaiki dua buah rumah yang musnah di Kampung Tawas berhampiran sebaik pelan rumah baharu siap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!